Penjual air ketum menyorokkan bekalan dalam perigi buta bagi mengelak ditahan pihak berkuasa. FOTO Ihsan AADK
Siti Nor Hidayatidayu Razali


SOROK dalam perigi buta. Demikian taktik digunakan penjual air ketum di Tok Bali, Pasir Puteh, untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, modus operandi mereka terbongkar menerusi Operasi Cegah (Ops Lembah dan Ops Sharp) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang dilakukan antara jam 8 pagi hingga 2 petang, kelmarin.

Ketua Pegawai AADK Pasir Puteh, Azlina Mohd Zain berkata, dalam operasi itu, pihaknya menahan enam lelaki berusia antara 19 hingga 51 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan AADK menemui 17 botol air ketum yang disorok dalam perigi buta.

“Air ketum berkenaan diproses untuk pasaran di Tok Bali dan kawasan sekitar yang dijual dengan harga RM20 sebotol.

“Kita menahan enam lelaki dan hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga daripadanya positif dadah,” katanya di Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya, mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) Rawatan dan Pemulihan (R&P) 1983 dan Akta Racun 1952.

“Lima lelaki diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut manakala seorang lagi dibenarkan jaminan mengikut Seksyen 4(1)(a) APD (R&P) 1983,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 5:12 PM