KEADAAN treler yang terbalik mengakibatkan seorang maut dan empat cedera termasuk seorang parah. FOTO Ihsan PDRM
Rosman Shamsudin


PEMANDU treler maut manakala empat cedera termasuk seorang parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 362.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Muallim, hari ini.

Kemalangan kira-kira jam 7 pagi membabitkan sebuah treler, lori dan pacuan empat roda Toyota Hilux milik PLUS Ronda itu menyebabkan pemandu treler, Hosnan Jambari, 59, meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kemalangan itu turut mengakibatkan pemandu kenderaan PLUS Ronda berusia 39 tahun parah, manakala pemandu lori dan dua penumpang PLUS Ronda cedera.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori berkenaan rosak kira-kira jam 6 pagi dan mendapatkan bantuan PLUS Ronda sebelum Toyota Hilux milik PLUS Ronda berhenti di hadapan lori berkenaan di lorong kecemasan.

“Dalam proses membantu dan memeriksa lori berkenaan, tiba-tiba datang treler kontena yang dipandu mangsa dari arah belakang disyaki hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang kanan lori sebelum terbalik di tempat kejadian.

“Akibat kemalangan itu, pemandu treler meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Slim River untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, kemalangan itu turut mengakibatkan empat yang lain cedera termasuk seorang parah dan kesemua mereka dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan.

Menurutnya, mangsa yang parah kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan berikutan pendarahan dalaman di bahagian perut.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 5:51 PM