Lebih 20,000 jemaah menunaikan solat hajat di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Nor Hidayatidayu Razali


LEBIH 20,000 menunaikan solat hajat bagi mempercepatkan bayaran royalti petroleum kepada Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu hari ini.

Solat hajat berkenaan diimamkan Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berharap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dapat membayar royalti minyak secepat mungkin kepada Kelantan.

Katanya, sehingga Februari ini tiada tanda royalti minyak dibayar kepada Kelantan.

“Sebagai hamba, kita memohon doa kepada Allah SWT yang akan menentukan (bayaran royalti).

“Oleh sebab itu kedatangan tuan dan puan memberi harapan kepada Kelantan.

“Ini menunjukkan bahawa rakyat memberi sokongan penuh kepada kerajaan negeri untuk memohon royalti minyak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Bicara Agung Malam Murabbi Ummah hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah serta pendakwah dan penceramah terkenal dari Sumatera, Indonesia, Abdul Somad Batubara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 10:52 PM