Tunku Azizah (dua kanan) menyaksikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan replika cek kepada Pengerusi Program Natural Dyes Creative Workshop (NDCW), Fatimah Ismail (kanan). FOTO Farizul Hafiz Awang
BERNAMA

RAJA Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar hari ini, mendedahkan baginda memiliki baju kurung daripada kain Tenun Diraja Pahang bauksit.

Tunku Azizah bertitah kain itu ‘diilhamkan’ apabila baginda dituduh oleh segelintir pihak kononnya baginda terbabit dalam perlombongan bauksit yang juga isu alam sekitar kontroversi di Kuantan pada 2014.

“Apabila saya dituduh mengorek bauksit, saya panggil (wakil) Penjara Penor untuk ambil bauksit dan keluarkan satu tenun Diraja Pahang menggunakan warna bauksit.

“Penjara Penor keluarkan kain itu yang saya panggil tenun bauksit..bauksit menghasilkan warna yang cantik dan saya harap warna bauksit boleh menjadi produk Pahang,” titah baginda ketika berucap merasmikan Bengkel Kreatif Pewarna Natural di Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan hari ini.

Untuk rekod, Penjara Penor adalah antara agensi penting dalam penghasilan produk tenun Diraja Pahang selain Penjara Bentong yang ilmu menenun kain itu diajar dan dihasilkan banduan di situ.

Tunku Azizah berharap penggunaan bahan alam semula jadi seperti akar dan daun dalam penghasilan tenun Diraja Pahang dapat diperluaskan sekali gus dilihat boleh membawa produk tekstil Pahang itu ke tahap lebih membanggakan.

Baginda juga berkenan berkongsi cerita, dalam mencari ilmu berkaitan warna dan tekstil, baginda dan rombongan menjelajah ke pelbagai negara antaranya Indonesia, Kemboja, Laos dan Thailand untuk ‘mencari mereka yang pakar’.

“Saya bawa rombongan untuk pelajari teknik yang digunakan mereka selain corak cantik yang boleh kita contohi.

“Apabila rombongan ini mengikut saya, mereka tahu ia bukanlah bercuti... dari jam 8 pagi sudah keluar dan balik hanya pada waktu malam.

“Sejak saya mengambil alih tenun Diraja Pahang pada 2005, banyak kejayaan dinikmati dan kita tidak boleh maju jika tidak menimba ilmu daripada pakar lain,” titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 12:21 AM