Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


WANITA cedera selepas dibelasah lelaki yang menyamunnya di dalam sebuah lif di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, kejadian itu berlaku jam 6.45 pagi ketika mangsa berusia 48 tahun berada di dalam lif berkenaan bersama suspek.

“Akibat kejadian itu, mangsa bengkak di dahi akibat dibelasah suspek.

“Suspek melarikan dompet mangsa yang mengandungi kad pengenalan, kad ATM dan wang tunai berjumlah RM400,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rusdi berkata, pihaknya sudah merakam percakapan tiga saksi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun hingga mendatangkan kecederaan,” katanya.

Insiden samun itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dalam lif berkenaan yang tular selepas dimuat naik di media sosial sejak malam tadi.

Dalam rakaman video berdurasi 57 saat itu menunjukkan suspek mengekori mangsa yang bersendirian masuk ke dalam lif berkenaan.

Suspek menumbuk mangsa beberapa kali sebelum menarik rambut dan menendang wanita berkenaan.

Ketika lif terbabit berhenti seketika di tingkat lain, suspek berhenti memukul mangsa dan berpura-pura berdiri sambil sebelah tangannya masih memegang rambut wanita terbabit.

Suspek kemudian segera menekan butang untuk menutup pintu lif berkenaan sebelum membelasah mangsa semula.

Lelaki itu menarik beg tangan mangsa dan mengambil dompet wanita itu sebelum melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 9:21 AM