PENIAGA char kuey teow nekad terjun dari tingkat 15 pangsapuri di Lebuhraya Thean Teik, Ayer Itam, Georgetown, Pulau Pinang. FOTO Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan


TIDAK tahan menanggung derita kerana menghidap pelbagai penyakit, peniaga char kuey teow nekad terjun dari tingkat 15 pangsapuri di Lebuhraya Thean Teik, Ayer Itam di Georgetown, semalam.

Dalam kejadian 4 petang itu, mangsa, lelaki warga emas berusia 70 tahun ditemui maut dalam keadaan tertiarap di atas bumbung pangsapuri terbabit.

Difahamkan, mangsa sebelum itu berada di tingkat 15 dan meninggalkan selipar sebelum terjun.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, polis menerima panggilan daripada penduduk pada 4.19 petang yang mengatakan ada orang terjun bangunan.

Menurutnya, sepasukan tiga anggota polis bergegas ke lokasi kejadian dan pihak hospital juga turut dihubungi untuk membuat pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan, penolong pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

“Siasatan di lokasi kejadian juga tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Che Zaimani berkata, hasil siasatan lanjut, isteri serta jiran mangsa memberitahu yang lelaki itu menghidap kencing manis, sakit kaki dan pernah menjalani pembedahan jantung.

“Kita tidak menolak kemungkinan mangsa tertekan dengan pelbagai penyakit yang dihidapinya itu membuatkan dia nekad terjun dari pangsapuri terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 1:59 PM