Rakyat Malaysia mendapat bantuan Kementerian Luar untuk proses dokumentasi di sebuah hotel di Kemboja.
Rakyat Malaysia mendapat bantuan Kementerian Luar untuk proses dokumentasi di sebuah hotel di Kemboja.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


SEMUA 40 anak Sarawak yang dibebaskan dari penjara Wilayah Banteay Macheay, Kemboja dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, jam 5 petang esok.

Ia disahkan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah ketika dihubungi di Siam Reap hari ini.

“Pada jam 4 petang ini (waktu Kemboja) satu simbolik majlis penyerahan kumpulan berkenaan (rakyat Malaysia yang dibebaskan) akan berlangsung.

“Mereka diserahkan Menteri Kanan Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Datuk Dr Othsman Hassan yang bertanggungjawab merintis usaha pembebasan itu.

“Mereka (rakyat Malaysia yang dibebaskan) akan diserahkan kepada saya mewakili kerajaan Sarawak dan kerajaan Malaysia dengan disaksikan pegawai kanan Wisma Putra termasuk Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Phonm Penh, Ruzaimi Mohamad dan Pengarah Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Deddy Faisal Ahmad Salleh,” katanya.

Fatimah ketika mengulas lanjut berkata, walaupun rakyat Malaysia sudah dibebaskan namun mereka masih tertakluk dengan undang-undang Kemboja.

Katanya, pegawai Jabatan Imigresen Malaysia bertungkus lumus menyiapkan dokumen perjalanan pulang ke Malaysia.

“Terdapat lapan rakyat kita yang kehilangan pasport kerana dokumen itu tidak diberikan kembali oleh sindiket.

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua rakyat kita masuk Kemboja secara sah menggunakan pasport dan pas lawatan sosial sebelum diperdayakan sindiket,” katanya.

Fatimah berkata, pihaknya juga sedang mengatur keperluan logistik termasuk menyediakan penerbangan pulang ke tanah air namun perkembangan terkini akan dimaklumkan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Kemboja Hun Sen atas keprihatinan sehingga membawa kepada pembebasan selepas 65 hari ditahan tanpa perbicaraan.

“Prinsip diplomasi dan kemanusiaan menjadi elemen terpenting dalam proses rundingan pembebasan rakyat Malaysia yang ditahan di Kemboja.

“Hubungan baik antara Malaysia dan Kemboja juga memainkan peranan penting membawa kepada keputusan untuk membebaskan warga kita,” katanya.

Fatimah juga mengingatkan supaya peristiwa itu menjadi pengajaran kepada rakyat Malaysia khususnya Sarawak agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran gaji lumayan.

Berita berkaitan:

'47 rakyat Malaysia pulang esok

'Derita 65 hari berakhir'

[UPDATE] 47 warga Malaysia di Kemboja bebas

[UPDATE] 'Rayu minta dibebaskan segera' [METROTV]

'Rindu 63 hari bakal terubat' [METROTV]

Kunjungan bawa harapan tinggi

Keluarga 47 tahanan di Kemboja semakin resah

Seorang masuk hospital

Serah kepada Kemboja jalankan siasatan

Nota diplomatik sudah diserahkan

'Tolong kamek mummy'

Mana kerja dijanjikan?

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 4:39 PM