BERNAMA

WANITA berusia 66 tahun kerugian RM10,000 apabila menjadi mangsa Macau Scam di Sibu, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa pada mulanya menerima panggilan polis dari IPD Negeri Sembilan berkaitan penahanan lelaki bernama Roslan Johari yang dikatakan terbabit dalam penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram.

Katanya, mangsa kemudiannya dihubungkan kepada individu bernama Sarjan Rezuan dan pegawai polis bernama Zaki.

“Mangsa dikatakan terbabit dalam kes ini dan suspek berkata akan membekukan aset mangsa jika tidak mengikuti apa yang diarahkan malah polis akan menangkap mangsa selepas ini dengan waran tangkap,” katanya hari ini.

Mustafa Kamal berkata, mangsa diarahkan memindahkan wang ke dalam akaun bank suspek kerana jika wang itu disimpan di dalam akaun bank mangsa, ia akan dibekukan Bank Negara.

“Suspek berjanji akan memindahkan semula wang itu ke akaun mangsa selepas selesai urusan dengan Bank Negara.

“Pada jam 1.42 petang mangsa memindahkan RM10,000 kepada akaun bank suspek, sebelum menyedari ia penipuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 5:23 PM