MANGSA maut di tempat kejadian. FOTO ihsan polis
Hadzlihady Hassan


TERTEKAN dengan masalah rumah tangga dipercayai punca wanita warga Russia terjun dari tingkat 25 sebuah kondominium di Tanjong Bungah di Georgetown, hari ini.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Katya, 36, ditemui mati di tingkat sembilan kondominium terbabit.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, sebelum kejadian mangsa yang tinggal di Gurney Drive datang ke kondominium terbabit untuk bertemu dengan rakannya.

“Mangsa datang ke rumah rakan wanitanya itu yang juga seorang pelajar di sebuah universiti, jam 5 pagi sebelum memberitahu dia tertekan kerana mempunyai masalah dengan suaminya.

“Rakannya kemudian mahu menghantar mangsa pulang bagaimanapun dia enggan dan rakannya itu masuk ke bilik air untuk mandi," katanya.

Che Zaimani berkata, selepas mandi rakannya keluar bilik air dan mendapati wanita terbabit sudah tiada dalam rumah.

"Rakannya kemudian keluar rumah sebelum mendapati mangsa berada dalam keadaan tertiarap di bawah blok kondominium terbabit.

"Dia kemudian menghubungi polis dan pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Setakat ini, kita masih mengesan waris serta suami mangsa yang berusia 60 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 11:36 AM