ANTARA GRO warga asing yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di sunway, Subang Jaya. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


DINDING diubah suai menjadi lorong rahsia bagi pelayan pelanggan (GRO) melarikan jika diserbu. Itu taktik digunakan sebuah pusat hiburan di Sunway, Subang Jaya, bagi mengelak kegiatan mereka yang melakukan aktiviti tidak bermoral dikesan pihak berkuasa.

Malah, jika dilihat sekali pandang, dinding itu kelihatan seperti rak minuman tetapi selepas diperiksa terdapat pintu laluan rahsia diubah suai pemilik premis berkenaan.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menyerbu premis berkenaan jam 1.30 pagi tadi.

Ketika serbuan, kebanyakan GRO sedang leka melayan pelanggan di beberapa bilik karaoke pusat hiburan berkenaan.

Sebaik menyedari premis diserbu, GRO bertempiaran lari melalui lorong rahsia, namun berjaya ditahan polis yang sudah mengepung pusat hiburan berkenaan.

Bagi mengelak ditahan, ada antara mereka bersembunyi di dalam bilik suis elektrik dan di bawah kaunter pembayaran.

Pegawai Turus D7 IPK Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, pihaknya menahan 29 GRO warga asing berusia antara 20-an hingga 30-an ditahan.

“Semua GRO terbabit terdiri daripada warga Thailand, China dan Vietnam ditahan selepas didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Selain itu, kami menahan 10 individu termasuk lima warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun yang bekerja di premis berkenaan.

“Kami turut menahan kira-kira 70 pelanggan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya untuk menjalani ujian awal saringan air kencing,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini, awal pagi tadi.

Mohd Khaizam berkata, pusat hiburan itu dipercayai beroperasi tanpa lesen sejak tiga tahun lalu.

“Sebelum ini, kami pernah membuat serbuan di premis ini, namun mereka masih meneruskan aktiviti tidak bermoral dengan menawarkan perkhidmatan GRO warga asing.

“Pelanggan boleh mendapatkan khimat GRO untuk melayani mereka sepanjang sesi karaoke di pusat hiburan berkenaan dengan kadar bayaran RM100 hingga RM400 bagi setiap sesi,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut dilakukan menemui beberapa pinggan mengandungi serbuk putih dan beg plastik berwarna hitam dipercayai dadah jenis syabu dan pil ekstasi.

“Berdasarkan penemuan ini, kami sedang menjalankan siasatan sekiranya ada aktiviti pengedaran dadah berlaku atau bekalan diperolehi daripada luar.

“Dalam serbuan itu juga, kami merampas peralatan sistem audio dan sejumlah wang tunai di premis berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 4:32 PM