RAKAMAN video mangsa disamun yang tular di media sosial sejak kelmarin.
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


PEJABAT Ahli Parlimen Kepong menawarkan ganjaran RM10,000 kepada mana-mana individu yang mempunyai maklumat sehingga tertangkap penjenayah yang membelasah seorang wanita dalam lif di stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras, Khamis lalu.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata, tawaran itu dikeluarkan kerana mahu penjenayah terbabit ditahan dan dibawa ke muka pengadilan dalam masa terdekat.

“Apa yang paling saya takuti adalah jika dia tidak ditahan dalam masa terdekat, ia mungkin akan mempengaruhi penjenayah lain melakukan jenayah dengan cara sama iaitu di dalam lif atau mana-mana lokasi terlindung.

“Malah, mereka mungkin turut mensasarkan lelaki dengan bergerak secara berkumpulan,” katanya dalam satu kenyataan dimuat naik melalui status di akaun Twitter miliknya, hari ini.

Terdahulu, dalam kejadian jam 6.45 pagi, seorang wanita cedera selepas dibelasah penjenayah yang menyamunnya dalam lif di stesen berkenaan.

Kejadian samun itu tular sejak kelmarin selepas rakaman CCTV dalam lif terbabit dimuat naik di media sosial.

Rakaman video berdurasi 54 saat itu menunjukkan suspek mengekori mangsa bersendirian masuk ke dalam lif itu.

Suspek bertindak menumbuk mangsa beberapa kali sebelum menarik rambut dan menendang wanita berkenaan.

Lelaki itu mengambil beg tangan dan dompet mangsa sebelum melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 5:45 PM