Keluarga meratapi kematian mangsa. FOTO ihsan polis
Adnan Ibrahim


WANITA maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh seekor babi hutan di Kilometer (KM) 4, Jalan Nyior-Kluang di Kluang, 8 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, ketika kejadian mangsa, R Kogila, 29, menunggang motosikal bersendirian dari rumahnya di Taman Paloh, Paloh ke bandar Kluang.

“Apabila tiba di tempat kejadian, seekor babi hutan melintas menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu merempuh haiwan berkenaan.

“Mangsa terbabas ke kanan jalan sebelum terjatuh dengan kepalanya dipercayai terhentak di jalan raya menyebabkan cedera parah.

“Pasukan perubatan yang tiba ke tempat kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk bedah siasat dan sudah dituntut keluarga.

Mohd Abduh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 5:53 PM