ANTARA jam tangan tiruan menggunakan jenama antarabangsa berjaya dirampas KPDNHEP Kuala Lumpur di Bukit Bintang.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


MODAL jam tiruan dan cermin mata dibeli tidak sampai RM50, namun dijual semula kepada pelancong antara RM150 hingga RM350.

Itu antara cara mudah penjaja barang tiruan sekitar Bukit Bintang dikesan mencari keuntungan atas angin dengan menawarkan barang tiruan kepada pelancong tempatan dan asing.

Bagaimanapun, kegiatan penjaja kaki lima terbabit berjaya dihidu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur sebelum merampas 444 utas jam tangan dan 61 unit cermin mata tiruan menggunakan jenama terkenal bernilai RM10,515.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kuala Lumpur, Low Swee Hon berkata, bagi memperdaya mangsa, setiap barangan tiruan dinyatakan sebagai barangan bergred tinggi atau ‘AAA’, atau salinan daripada daripada jenama tulen.

Katanya, antara jenama jam dirampas ialah Rolex, Patek Phillip, Bvlgari, Cartier, Panerai Luminor, Brietling, Mont Blanc, Rado dan Omega manakala cermin mata pula menggunakan jenama seperti Rayban, Chanel, Louis Vuitton, Gucci serta Dior.

“Bertindak atas maklumat, KPDNHEP Kuala Lumpur melakukan pemeriksaan di lokasi itu pada Rabu lalu dan berjaya merampas barangan tiruan dari sebuah gerai di kaki lima serta disimpan dalam dua kereta dipercayai milik penjaja berkenaan.

“Barangan ini kebanyakan dijual kepada pelancong asing dengan harga cukup mahal dan bagi memperdaya mereka, penjaja memaklumkan bahawa barangan dijual mempunyai gred menyamai asli atau sememangnya salinan daripada produk asli,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Low berkata, dipercayai penjaja terbabit memperoleh barangan berkenaan daripada pembekal tempatan dengan kadar harga jauh lebih murah iaitu sekitar RM50 setiap satu.

“Ketika serbuan dijalankan, penjaja berjaya meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Susulan itu, penguat kuasa KPDNHEP bertindak merampas semua barangan mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 6:20 PM