LELAKI tempatan ditahan ketika membawa PATI di Plaza Tol Hutan Kampung, Alor Setar. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


GELAP mata dengan hasil lumayan menyebabkan tekong darat dan ‘prebet sapu’ sanggup mengambil risiko menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan lorong tikus di sempadan negara.

Difahamkan, tekong darat terbabit mampu meraih hasil puluhan ribu ringgit apabila dibayar RM1,000 bagi setiap PATI yang dibawa masuk atau keluar manakala ‘prebet sapu’ pula menerima upah RM100 seorang.

Bagaimanapun, kegiatan sindiket penyeludupan PATI yang dijalankan sejak setahun lalu tumpas apabila tekong darat, prebet sapu dan anggota sindiket warga Myanmar ditangkap bersama sembilan PATI warga Myanmar dalam Op Pintas dilakukan Bahagian Anti Pemerdagangan Orang/Penyeludupan Migran (D7C) Bukit Aman di Kedah, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, pada mulanya, polis menerima maklumat berjaya menahan sebuah kereta Proton Iswara dipandu lelaki tempatan berusia 46 tahun di Plaza Tol Hutan Kampung, Alor Setar, jam 12.35 tengah malam.

Menurutnya, pemeriksaan menemui tiga lelaki dan dua wanita warga Myanmar berusia 22 hingga 30 tahun dari Pulau Pinang cuba diseludup ke luar melalui lorong tikus di sempadan negara.

“Susulan penahanan lelaki ini, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Felda Batu 8, Jalan Changlun yang menjadi lokasi transit PATI sebelum menemui empat lagi lelaki warga Myanmar berusia 18 hingga 34 tahun.

“Siasatan mendapati, empat lelaki terbabit baru memasuki negara ini melalui Thailand dan dikurung sementara di rumah berkenaan sebelum dipindahkan ke tempat lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat, polis menahan tekong darat berusia 37 tahun di sebuah rumah di Taman Laka Tamin, Bukit Kayu Hitam jam 4 pagi.

“Susulan tangkapan ini, polis menyerbu satu lokasi di Chai Leng Park Perai, Pulau Pinang dan menahan lelaki warga Myanmar berusia 31 tahun yang menjadi anggota sindiket terbabit.

“Tiga anggota sindiket ini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Manakala sembilan PATI pula disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 7:46 PM