Syed Saddiq ketika sidang media di Chukai, petang hari ini. (Gambar kiri) Laporan portal Harian Metro mengenai penahanan Papagomo. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


SYED Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan bersedia disaman EXCO Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo, yang mendakwa difitnah susulan kejadian serangan terhadap Menteri Belia dan Sukan itu.

Sambil menegaskan beliau di pihak yang benar, Ahli Parlimen Muar itu berkata, ramai saksi yang di lokasi ketika kejadian serangan oleh penyokong pembangkang itu berlaku ke atasnya.

Menurutnya, ramai yang menyaksikan kejadian itu, termasuk polis berhubung serangan ke atasnya selepas penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, semalam.

“Terserah kepadanya, saya tiada masalah kerana (saya) berasa di pihak yang benar, tambahan pula ketika itu ramai saksi, termasuk anggota polis ada di situ,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Padang Sintetik Stadium Mini Mak Chili Kemaman kepada Majlis Perbandaran Kemaman, Chukai, petang hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Ditanya berhubung penahanan Papagomo, Syed Saddiq berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada polis dan yakin keadilan berada di pihaknya.

“Saya baca kenyataan Papagomo banyak yang berubah-ubah. Dia ada cakap, ‘aku pergi sana siap peluk Saddiq’, dia kata, ‘kau bodohlah Saddiq’.

“Kita dah ‘screenshot’ (tangkap layar) kenyataan itu dan hantar pada polis, lepas itu dia tukar kenyataan pula kata ‘tak adalah aku tak peluk (Syed Saddiq) dan cuma pegang bahu sahaja,” katanya.

Papagomo dipercayai menjadi seorang daripada individu yang terbabit dalam serangan itu apabila dikatakan bertindak mencekik Syed Saddiq.

Insiden itu tular di media sosial melalui klip video berdurasi 22 saat memaparkan Syed Saddiq dikerumuni penyokong parti pembangkang ketika dalam perjalanan menuju ke keretanya selepas selesai proses penamaan calon bagi PRK terbabit.

Syed Saddiq diiringi anggota polis serta anggota Unit Amal PAS sambil dikejar sekumpulan lelaki.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 9:49 PM