Lelaki yang berbaring di belebas tingkap bilik di tingkat 13 sebuah kondominium dekat Taman Subang Mewah, Subang, terpaksa diselamatkan bomba. FOTO Ihsan Bomba
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


TINDAKAN lelaki berbaring di belebas tingkap bilik di tingkat 13 sebuah kondominium dekat Taman Subang Mewah, Subang, tengah hari ini, mencetuskan panik sehingga memaksa pasukan Bomba dan Penyelamat dipanggil untuk menyelamatkannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.40 tengah hari berhubung tindakan lelaki berusia 21 tahun itu sebelum bergegas ke lokasi.

Menurutnya, sebuah jentera dan kenderaan pelbagai guna dengan kekuatan lapan anggota dari BBP Subang Jaya dikerah ke lokasi kejadian dan tiba 10 minit kemudian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati lelaki itu berbaring di belebas luar tingkap bilik di kondominium berkenaan.

“Untuk menyelamatkan lelaki itu, kami memasuki tingkap tandas di bilik itu untuk membuka pintu, kemudian lima anggota bomba dengan pantas menangkap lelaki terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Syed Shahril berkata, pihaknya berjaya menyelamatkan lelaki itu dan dia tidak mengalami kecederaan,

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak dapat mengenal pasti motif lelaki itu melakukan tindakan di luar jangkaan berkenaan.

“Pihak kami dimaklumkan, lelaki itu tinggal bersama keluarganya di kediaman itu, namun ketika kejadian, kedua ibu-bapanya tiada di rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 12:05 AM