ANGGOTA polis membawa naik mayat mangsa yang dipercayai membunuh diri di rumahnya di Taman Mutiara. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
ANGGOTA polis membawa naik mayat mangsa yang dipercayai membunuh diri di rumahnya di Taman Mutiara. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


TERTEKAN dengan masalah yang dihadapinya, selain berdepan dengan tindakan mahkamah dipercayai menjadi punca warga emas lelaki membunuh diri di rumahnya di Taman Mutiara, Kangar, hari ini.

Mangsa ditemui tergantung di ruang tamu rumahnya oleh anak dan menantunya, 8.15 pagi hari ini.

Menurut anak lelaki mangsa yang enggan dikenali, bapanya sepatutnya hadir ke Mahkamah Kangar pagi ini bagi mendengar sebutan semula satu kes membabitkan bapanya itu.

“Memang tak sangka perkara ini berlaku kepada ayah sebab kami sudah berjanji untuk membawanya ke mahkamah pagi ini.

“Pagi ini kami sampai di depan rumah ayah dan hairan kerana pintu rumah tidak berkunci.

“Sejurus membuka pintu, kami menemui ayah meninggal dunia dalam keadaan demikian,” katanya ketika ditemui di rumah bapanya, hari ini.

Anak mangsa berkata, dia percaya ayahnya mengalami tekanan yang melampau sehingga bertindak membunuh diri.

“Ayah tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda sebelum pergi, tetapi kami rasa dia tertekan dengan masalah yang dihadapinya sekarang.

“Malah menurut jiran, pada 6.30 pagi tadi ayah sempat keluar dengan motosikalnya mungkin dia pergi membeli sarapan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Zaini Talib ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dibawa ke bilik mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 1:25 PM