FOTO Hiasan
Nur Lela Zulkipli
Nurlela@nstp.com.my


SEORANG suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas empat pertuduhan memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM815,260, dua tahun lalu.

Chang Lin San, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Tertuduh didakwa memindahkan wang iaitu masing-masing berjumlah RM400,000, RM310,000, RM75,260 dan RM30,000 daripada hasil aktiviti haram dari akaun semasa miliknya di cawangan Hong Leong Bank di Putrajaya antara Ogos hingga Oktober 2017.

Wang berkenaan didakwa dipindahkan melalui akaun milik tertuduh ke akaun semasa milik Superior Pool Alliance Berhad di RHB Bank Berhad (RM400,000), Motionique Sdn Bhd di Maybank Berhad (RM310,000), K Gopikrisna di Maybank Berhad (RM75,260) dan ke akaun milik tertuduh sendiri (RM30,000) di RHB Berhad.

Semua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA)(Akta 613).

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Idamasliza Maarof kemudian memohon semua kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya berikutan tertuduh turut didakwa bagi kesalahan sama di mahkamah itu, Januari lalu.

Mahkamah membenarkan semua pertuduhan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Terdahulu, tertuduh diwakili peguam Lim Yoi Ping memohon jaminan rendah munasabah atas alasan jumlah anak guamnya sudah pun dikenakan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sebelum ini.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM50,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan seterusnya pada 1 Mac ini.

Terdahulu, pada 31 Januari lalu, tertuduh berdepan dua pertuduhan memiliki wang hasil aktiviti haram berjumlah keseluruhan RM1.2 juta, dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 2:32 PM