Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


MAHKAMAH Persekutuan Putrajaya menolak rayuan Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan kemenangan beliau di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada PRU-14 adalah tidak sah dan terbatal.

Keputusan itu diputuskan oleh lima panel hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum selepas mendengar hujahan daripada pihak pempetisyen dan responden.

Mohamad diwakili oleh peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, manakala pasukan Dr S Streram diketuai oleh Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Selain itu, mahkamah memutuskan setiap perayu dalam kes ini membayar kos RM10,000 kepada responden.

Pada 16 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Seremban memutuskan kemenangan Mohamad Hasan di kerusi DUN Rantau pada PRU-14 lalu tidak sah dan terbatal.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Azimah Omar, yang turut memutuskan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi DUN Rantau yang dimenangi Mohamad tanpa bertanding pada PRU-14 lalu, perlu diadakan serta-merta.

Pada 25 Jun tahun lalu, Mohamad memfailkan bantahan awal untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh Streram bagi kerusi DUN Rantau di Parlimen Rembau.

Streram memfailkan petisyen pada 23 Mei tahun lalu untuk membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengisytiharkan Mohamad sebagai pemenang kerusi DUN Rantau pada PRU-14, 9 Mei tahun lalu.

Dr Streram menamakan Mohamad sebagai responden pertama dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agos Suyub dan SPR masing-masing sebagai responden kedua dan ketiga.

Mohamad yang ketika itu Menteri Besar Negeri Sembilan menang kerusi itu tanpa bertanding selepas Amino Agos tidak membenarkan Dr Streram masuk ke pusat penamaan calon kerana tiada pas calon SPR.

  • Lagi berita berkaitan PRK Rantau

  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 2:37 PM
    S Streram (kiri) dan Mohamad selepas keputusan Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan bagi kerusi DUN Rantau di Negeri Sembilan pada PRU-14 sebagai tidak sah dan terbatal. FOTO Mohd Fadli Hamzah