Lelaki yang dipercayai melakukan serangan seksual terhadap dua beradik dibawa ke Kompleks Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Majistret Kuala Terengganu hari ini. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


KEENGGANAN dua beradik ke kedai ibunya di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu kelmarin membongkar rahsia mereka yang dipercayai menjadi mangsa serangan seksual lelaki dikenali.

Selain memaksa budak perempuan berusia tujuh tahun itu melakukan seks oral, lelaki berusia 44 tahun terbabit dikatakan pernah cuba memasukkan kemaluannya ke dalam punggung adik lelaki mangsa berusia lima tahun.

Menurut sumber, perbuatan lelaki itu terbongkar selepas dua beradik terbabit menceritakan kejadian itu kepada ibu mereka berusia 33 tahun jam 6 petang kelmarin.

Katanya, mangsa memaklumkan tidak mahu pergi ke kedai ibunya kerana tidak mahu berjumpa dengan lelaki itu.

“Wanita itu yang mengesyaki sesuatu kemudian bertanya sebelum anak perempuannya memaklumkan lelaki itu pernah memasukkan kemaluan ke dalam mulutnya.

“Pada masa sama, anak lelakinya turut memaklumkan lelaki itu cuba memasukkan kemaluannya ke dalam punggungnya ketika mandi.

“Lelaki itu turut mengarahkan dua beradik itu tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa termasuk ibu mereka,” katanya.

Sumber berkata, wanita itu memaklumkan sudah mengenali lelaki itu sejak lima tahun lalu dan dia selalu bermain serta membawa dua anaknya berjalan-jalan.

Katanya, susulan kejadian itu, wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/ Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff membenarkan suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 2:52 PM