Muhammad Khomeini menunjukkan bekalan untuk bantuan beras percuma kepada golongan memerlukan. FOTO Nur Saliawati Salberi
Nur Saliawati Salberi


“ALHAMDULILLAH dengan adanya bantuan sebegini saya tidak lagi buntu apabila terputus bekalan beras,” luah Sarah, 37, pemohon bantuan beras percuma.

Menurut ibu tiga anak berusia antara tujuh hingga 15 tahun itu, akibat kesempitan hidup dia dan keluarga kerap terputus bekalan makanan khususnya beras.

Katanya, suaminya berusia 38 tahun kini tidak mampu bekerja disebabkan masalah kesihatan selain dia hanya mengambil upah melipat dodol.

“Sebelum ini jika terputus bekalan makanan, saya minta bantuan daripada emak atau adik beradik walaupun segan, tapi demi anak-anak terpaksa juga.

“Dengan bantuan beras percuma ini sekurang-kurangnya mampu menampung sementara menunggu bantuan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM),” katanya ditemui di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras (JAPERUN) Serkam, Jasin hari ini.

Menurutnya, dia mengetahui mengenai bantuan beras percuma itu daripada rakan.

Sementara itu, Penyelaras DUN Serkam, Muhammad Khomeini Kamal berkata, inisiatif mengadakan bantuan beras percuma itu dilakukan hasil daripada Program Ziarah Peduli Rakyat yang dilakukan pihaknya apabila mendapati ada antara penduduk kawasan itu berdepan situasi terputus bekalan beras.

Menurutnya, bantuan itu diperkenalkan awal bulan ini dan sejak diperkenalkan kira-kira 30 wakil keluarga datang mendapatkannya.

“Kita tetapkan Isnin dan Khamis setiap minggu untuk mereka yang terputus bekalan beras dan betul-betul tidak mampu datang mengambilnya.

“Mereka hanya perlu mengisi borang dan JAPERUN akan menghantar wakil untuk tindakan lanjut bagi membantu keluarga ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan 20 hingga 30 kampit beras lima kilogram dalam seminggu untuk diberikan kepada penduduk yang terputus bekalan beras.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 4:50 PM