S Streram kelihatan tersenyum selepas keputusan Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan DUN Rantau sebagai tidak sah dan terbatal. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


TIMBALAN Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Rembau, Dr S Streram yakin dapat merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak lama lagi.

Bekas calon PKR bagi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berkata, beliau yang mendapat restu daripada pucuk pimpinan parti untuk dicalonkan semula yakin dapat merampas kerusi itu selepas Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada PRU-14 sebagai terbatal dan tidak sah.

“Penantian selama 10 bulan berakhir dan hak saya terbela. Penindasan terhadap saya pada PRU-14 akhirnya mendapat pembelaan.

“Hari ini (semalam) segalanya terjawab apabila keputusan mahkamah itu membuktikan saya ditindas (pada hari penamaan).

“Sudah lama saya menantikan saat ini dan saya yakin boleh memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Streram berkata, jentera parti sudah digerakkan sejak awal dan beliau sendiri kerap turun padang menghadiri pelbagai program bersama masyarakat setempat.

“Untuk kali ini, kita akan menguatkan lagi jentera parti dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim serta timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dijangka hadir membantu jentera,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan kemenangan Mohamad di kerusi DUN Rantau pada PRU-14 lalu sebagai terbatal dan tidak sah.

Keputusan dibuat selepas panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum menolak rayuan Mohamad untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu bagi DUN Rantau, tidak sah.

Berita berkaitan

DUN Rantau: Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Tok Mat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 5:21 PM