Aidi (tengah) dan Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin (sembilan kiri) bersama pelajar serta guru SMK Sultan Mansor. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


SINDIKET penipuan komersial turut mensasarkan pelajar di Terengganu apabila 304 kes penipuan dilaporkan membabitkan kerugian RM5.2 juta tahun lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, golongan pelajar hari ini mudah menjadi mangsa sindiket penipuan komersil kerana ramai memerlukan wang segera sehingga terjerat.

“Berdasarkan rekod, pinjaman yang tidak wujud menjadi kes paling tinggi direkodkan apabila 105 kes diterima membabitkan kerugian RM845,000.

“Ia diikuti kes penipuan Macau Scam membabitkan 98 kes dengan kerugian RM3.2 juta, 64 kes penipuan e-Belian (kerugian RM 370,000) dan 37 kes parcel/love scam (kerugian RM740,000).

“Tahun ini saja, kita menerima 38 kes membabitkan kerugian RM675,000,” katanya ditemui selepas Program Jom Ke Sekolah Peringkat Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mansor hari ini.

Menurut Aidi, pihaknya turut menerima 17 kes jenayah membabitkan pelajar di negeri itu tahun lalu dengan kes mendatangkan kecederaan dan mendatangkan kecederaan dengan senjata masing-masing empat kes.

“Sembilan kes lain adalah jenayah merusuh (tiga kes), sengaja mendatangkan cedera parah (dua kes), rogol (dua kes) dan jenayah terhadap kanak-kanak (dua kes).

“Bagi jenayah narkotik pula, 17 kes diterima dengan 11 kes membabitkan kesalahan penyalahgunaan dadah, empat kes memiliki dadah dan dua kes di bawah Akta Racun sepanjang tahun lalu.

“Sepanjang tahun lalu juga, 379 kemalangan membabitkan pelajar direkodkan termasuk 11 kemalangan maut, parah (22 kes), cedera ringan (11 kes) dan kerosakan kecil (335 kes),” katanya.

Aidi berkata, statistik yang dicatatkan bagi semua jenayah di Terengganu masih berada pada tahap menggusarkan dan pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dalam membendung masalah berkenaan.

“Justeru, kerjasama semua pihak termasuk kewujudan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dan kadet polis di sekolah diharap dapat membantu kita mengatasi masalah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 6:11 PM