Antara GRO yang diberkas dalam operasi di Kampar Sabtu lalu. FOTO Ihsan JIM
Antara GRO yang diberkas dalam operasi di Kampar Sabtu lalu. FOTO Ihsan JIM
Muhammad Apendy Issahak


PUSAT karaoke yang menawarkan khidmat wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing di Kampar diserbu Sabtu lalu dalam operasi Unit Operasi Khas (QRT) Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya.

Dalam operasi bermula jam 11 malam itu, 20 individu membabitkan wanita dan lelaki tempatan serta warga asing diperiksa dan lapan wanita warga Thailand dipercayai GRO ditahan.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, khidmat GRO warga asing digunakan di premis berkenaan bagi tujuan tarikan dan menemani pelanggan untuk minum dengan bayaran RM50 sebagai ‘tips’ layanan.

“Seorang wanita tempatan yang dipercayai pemilik dan penyelia premis juga turut ditahan dalam serbuan itu bagi membantu siasatan.

“Ketika serbuan ada cubaan melarikan diri melalui pintu belakang premis tetapi berjaya digagalkan penguat kuasa yang membuat kepungan awal sebelum serbuan dijalankan,” katanya hari ini.

Menurutnya, antara kesalahan yang dikenalpasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Semua tahanan diserah kepada Bahagian Penguat kuasa JIM Perak bagi tujuan siasatan dan tindakan susulan,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, dari 1 Januari sehingga 15 Februari lalu 1,999 operasi penguatkuasaan dijalankan membabitkan pemeriksaan 30,778 individu dan hasilnya 6,985 pendatang tanpa izin (PATI) diberkas selain 142 majikan ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 7:19 PM
Digital NSTP Subscribe