Muhammad Apendy Issahak


SEBUAH lori terbabas sebelum terbalik dan melintang hingga menghalang keseluruhan laluan di Kilometer 204.3 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Kamunting, Taiping, hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, pemandu dan kelindan kenderaan berat itu tidak mengalami sebarang kecederaan, namun kemalangan menyebabkan kesesakan sejauh lebih satu kilometer.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik.

“Lori dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun bersama kelindannya berusia 21 tahun dari Jawi, Pulau Pinang menuju ke Matang, dekat sini.


KEADAAN lori terbabas sebelum terbalik dan melintangi keseluruhan laluan di Kilometer 204.3 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Kamunting. FOTO Ihsan PDRM

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai mengantuk hingga menyebabkan lori dipandunya hilang kawalan lalu terbabas sebelum terbalik.

“Kejadian mengakibatkan kedua-dua lorong arah selatan terhalang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, laluan adalah jalan lurus dua lorong tetapi basah akibat hujan.

“Kemalangan tidak membabitkan kecederaan dan tiada tangkapan dilakukan tetapi polis mengeluarkan saman terhadap pemandu lori terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 9:35 PM