RUANG di bawah rumah pusaka yang dihuni Hariani bersama enam anaknya sejak 14 tahun lalu.
Siti Rohana Idris


KESUSAHAN hidup tujuh beranak memaksa mereka tinggal berhimpit di bawah rumah yang sempit di Kampung Kijang, di sini.

Bahagian bawah rumah pusaka milik arwah ibu bapanya itu dibina daripada lebihan simen, papan lapis dan kayu buangan yang dikutip menjadikannya sebagai tempat berteduh, Hariani Mat, 47, bersama enam anaknya yang berusia antara enam hingga 20 tahun.

Ketika memasuki ‘istana’ mereka, kepala terpaksa ditunduk kerana bimbang terhantuk di lantai rumah bahagian atas dan rumah yang didiami Hariani hanya ada dua bilik tidur serta ruang dapur yang sangat sempit.

Hariani berkata, mereka tinggal di bawah rumah itu sejak 14 tahun lalu kerana rumah pusaka kedua orang tuanya di bahagian atas dihuni tiga keluarga termasuk ibu dan bapa tirinya.

“Lagipun rumah pusaka berstruktur kayu itu terlalu uzur dan kalau kami menumpang, bimbang akan runtuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya.


RUANG yang sempit dijadikan bilik dan tempat menyimpan pakaian.

Bagaimanapun, Hariani risau memikirkan di mana mereka sekeluarga bakal ‘merempat’ kerana rumah didiami sekarang hanya menunggu masa untuk dirobohkan berikutan pemilik tanah ingin mengambil semula tapak itu untuk membina jalan.

Hariani yang bekerja di kantin Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Lundang berkata, usahkan untuk membina rumah, menjalani hidup seharian pun mereka meraih simpati daripada saudara-mara.

“Lima anak masih bersekolah iaitu empat bersekolah rendah dan seorang di tingkatan dua, manakala yang sulung tidak bekerja kerana menguruskan semua adik ketika saya bekerja.

“Gaji diterima hanya RM30 sehari dan dalam seminggu saya bekerja lima hari kerana mengikut jadual agensi kerajaan, jadi dalam sebulan dapat RM600,” katanya.


Hariani bersama anaknya buntu memikirkan masa depan.

Katanya, persalinan anaknya jarang berganti kerana gajinya hanya cukup untuk keperluan harian termasuk wang saku sekolah anak.

Kepada orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian di akaun Bank Rakyat milik Hariani Mat iaitu 220121802599.

Kakak Hariani, Mek Yah Mat, 49, berkata, dia menyediakan tapak rumah untuk Hariani namun tiada sumber kewangan untuk membina rumah mereka.

“Saya berharap ada pihak sudi membantu adik saya dan enam anaknya keluar dari ‘bawah rumah’ kerana saya sendiri tidak sanggup melihat mereka hidup bersesak dalam ruang yang sangat sempit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 8:05 AM