ANTARA warga asing ditahan anggota penguatkuasa JIM Kedah ketika Ops Bersepadu sekitar Sungai Petani. FOTO Ihsan JIM
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


SEORANG lelaki warga asing sempat menyorok di belakang pintu ketika premis kediamannya di Pokok Sena diserbu pegawai Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, semalam.

Lelaki berusia sekitar 30-an itu dipercayai berbuat demikian untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa, namun gagal apabila ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

Dalam operasi dilakukan di tiga premis perniagaan, sebuah ladang cili dan dua kediaman di sekitar Pokok Sena bermula jam 8.30 pagi itu, seramai 85 warga asing dari pelbagai negara diperiksa.

Pengarah JIM Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, daripada jumlah itu, seramai 11 individu ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal melebihi masa dan gagal mematuhi syarat serta permit.

Beliau berkata, dalam operasi berakhir 11 jam kemudian, seorang lelaki Pakistan, dua lelaki Indonesia, empat lelaki Myanmar dan dua lelaki serta seorang wanita Kemboja berusia 19 hingga 40 tahun berjaya ditahan.

“Turut ditahan seorang kanak-kanak perempuan warga Kemboja berusia dua tahun.

“Operasi Bersepadu ini disertai 19 pegawai penguatkuasa JIM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zuhair berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1958/63 (Akta 155) iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan sah, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

Beliau berkata, kes turut disiasat mengikut Perkara 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar atau gagal mematuhi syarat pas atau permit.

Semua ditahan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Imigresen Belantik, Sik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 11:38 AM