Tertuduh dibawa anggota polis selepas mengaku salah atas tuduhan menghalang tugas penjawat awam. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Nurul Fhatihah Zakinan


PENGGALI kubur dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM2,060 di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh hari ini selepas mengaku salah atas pertuduhan menghalang tugas penjawat awam dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis trafik di Bangunan Merah, Jalan Laksamana, November lalu.

Tertuduh, Zamin Zakaria, 40, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan berasingan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh dan Majistret Teoh Shu Yee.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh, didapati menghalang tugas anggota polis, Koperal Ishak Deros yang sedang menjalankan tugas rasmi dan mengeluarkan saman di Bangunan Merah, Jalan Laksamana, berhadapan pejabat pos, Melaka Tengah, 3 petang, 16 November 2018.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati menggunakan perkataan kurang sopan dan menghina kepada pegawai sama yang mana kemungkinan akan memecah keamanan, pada waktu dan lokasi sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal bagi pertuduhan pertama manakala Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin bagi pertuduhan kedua.

Tertuduh yang bekerja sebagai penggali kubur serta tidak diwakili peguam bela merayu atas alasan mempunyai pendapatan tidak tetap dan sudah memohon maaf secara peribadi dengan anggota terbabit.

Majistret Mohd Firdaus kemudian mengenakan hukuman penjara sehari dan denda RM2,000, jika gagal bayar dua bulan penjara bagi pertuduhan pertama manakala Majistret Teoh Shu Yee mengenakan denda RM60, jika gagal bayar sebulan penjara terhadap tertuduh.

NSTP sebelum ini melaporkan seorang lelaki berang apabila kenderaannya disaman dan memaki anggota polis yang bertugas menjaga lalu lintas dalam kejadian di hadapan bangunan Stadthuys, Jalan Laksamana tahun lalu.

Kejadian yang turut tular di media sosial itu berlaku selepas lelaki terbabit tidak berpuas hati kerana disaman selepas didapati parkir kenderaan di tepi jalan yang menghalang lalu lintas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 2:55 PM