AHMAD Faizol dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini kerana cuba mencuri seekor ayam jantan milik jirannya. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply


SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini kerana cuba mencuri seekor ayam jantan milik jirannya.

Keputusan itu dibuat Majistret Abdul Hayyi Salim selepas tertuduh, Ahmad Faizol Hashim, 30, dari Kampung Pengkalan Arang, Kuala Nerus mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 511 KK.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa cuba mencuri seekor ayam jantan milik Muhammad Rafeqhul Syazwan Yusof, 23, di tepi rumah di Kampung Pengkalan Arang, Kuala Nerus, pada 12.30 tengah malam 16 Februari lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli manakala tertuduh yang memiliki beberapa rekod jenayah sebelum ini tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa yang berada di rumah ternampak dan dimaklumkan anak saudaranya mengenai kehadiran dua lelaki berlegar di kawasan rumah.

Mangsa kemudian membuat pemeriksaan sebelum ternampak suspek mencuri seekor ayam yang berada di sekitar kawasan rumah.

Suspek melarikan diri dengan menunggang motosikal bersama seorang lagi rakannya sebelum mangsa dan anak saudaranya mengejar mereka.

Tertuduh berjaya ditahan manakala rakan sejenayahnya berjaya melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 4:44 PM