Sejak semalam pelbagai pihak membuat laporan menuntut tindakan ke atas penghina Nabi Muhammad SAW.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

LELAKI yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW di Facebook (FB) sudah ditahan di rumahnya di Mentakab, Temerloh, hari ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Katanya, suspek berusia 68 tahun itu ditahan susulan laporan dibuat beberapa individu dan badan bukan kerajaan (NGO) sejak semalam.

“Ya kita sudah tahan. Dia akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Saya dimaklumkan pegawai penyiasat dari IPD Batu Pahat akan ambil dia di Mentakab,” katanya.

Semalam seorang pengguna FB dikatakan memuat naik gambar kartun berunsur penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW dan isteri, Saidatina Aisyah sebelum ia tular di media sosial.

Gambar kartun itu ditulis dengan perkataan Muhammad pada lelaki dewasa dan kanak-kanak berusia enam tahun sebagai Aisyah.

Sementara itu, Mohd Zakaria menasihatkan orang ramai supaya lebih peka dan berhati-hati ketika memuat naik sebarang kenyataan di laman sosial terutama yang berkait sensitiviti agama dan kaum di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 5:13 PM