Skip this ad x
GAMBAR hiasan


LELAKI warga Kemboja parah ditikam di bahagian dada menggunakan pisau dalam pergaduhan membabitkan dua rakan senegaranya di Jalan Yadi, Klang, Ahad lalu.

Difahamkan, kejadian kira-kira jam 10 malam itu berlaku apabila mereka saling mengata antara satu sama lain ketika sedang meneguk minuman keras.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian berlaku apabila mangsa berusia 36 tahun dan tiga rakannya termasuk seorang wanita sedang meminum arak sehingga mabuk sebelum berlaku pergaduhan.

“Siasatan awal mendapati, punca pergaduhan disebabkan saling mengata antara satu sama lain sebelum suspek bertindak menikam dada mangsa dengan pisau.

“Sejurus melihat rakannya rebah, suspek bertindak melarikan diri sebelum kejadian ini disedari jiran mangsa dan memaklumkan kepada polis,” katanya.

Shamsul Amar berkata, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) dan kini dilaporkan stabil.

Beliau berkata, siasatan lanjut berjaya menahan dua individu warga Kemboja termasuk isteri suspek, masing-masing berusia 30-an pada jam 2.09 pagi semalam, bagi membantu siasatan.

“Hasil soal siasat mereka mengakui berada di lokasi kejadian dengan kedua-duanya tidak memiliki dokumen perjalanan diri.

“Polis sedang mengesan seorang lagi suspek dipercayai terbabit dengan kes ini,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 5:20 PM