GAMBAR hiasan
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


POLIS sedang mengesan saksi kemalangan membabitkan seorang remaja lelaki yang maut selepas motosikal diboncengnya dilanggar sebuah kereta mengundur di Jalan Meru, Klang, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa, Norsyaifulizam Awalluddin, 15, mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Bagaimanapun, mangsa yang tidak bersekolah itu disahkan meninggal dunia kira-kira 5 pagi tadi, selepas dua hari menerima rawatan di hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, ketika kejadian mangsa membonceng motosikal jenis Yamaha Lagenda ditunggangi rakannya, Aiman Syabil Razali, 15.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu kereta Toyota Vios sedang mengundur keluar dari tempat letak kenderaan di hadapan sebuah bank di lokasi kejadian.

“Namun, motosikal dibonceng mangsa yang datang dari arah Jalan Meru Tambahan menghala ke Pekan Meru gagal mengelak lalu melanggar kereta berkenaan.

“Ia mengakibatkan mangsa yang parah dibawa ke Hospital Shah Alam (HSAS) sebelum dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, Aiman Syabil yang menunggang motosikal hanya mengalami luka di bahagian buku lali.

Nurulhuda berkaa, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya tampil atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 9:19 PM