AYUB (kiri) bersama pasangannya, Rozi memeluk agama Islam di hadapan ADUN Paloh. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim
cnews@nstp.com.my


“HATI saya tenang selepas mengucap dua kalimah syahadah. Mungkin saya mendapat rahmat daripada Allah SWT,” kata lelaki Orang Asli, Ayub Raju, 23, yang memeluk Islam di Kampung Pasir Linggi, Gua Musang, hari ini.

Ayub antara empat remaja Orang Asli suku kaum Batek masing-masing dua lelaki dan wanita yang memeluk Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah di hadapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Amran Ariffin.

Katanya, dia sudah lama bersedia untuk memeluk Islam kerana ibu bapa bersama rakan lain sudah berbuat demikian.

“Selama ini saya tidak mempunyai pegangan agama dan lebih indah serta bahagia selepas memeluk Islam. Saya bercadang untuk berkahwin dengan pasangan selepas ini.

“Saya amat teruja dan gembira dapat memeluk Islam dan akan belajar mengaji al-Quran serta solat supaya kehidupan saya mendapat rahmat Allah,” katanya.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim merasmikan Program Seperdu Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pasir Linggi, di sini, hari ini. Turut hadir, ADUN Nenggiri, Ab Aziz Yusof.

Pasangan Ayub, Rozi Long Semah, 22, berkata, dia tidak ada masalah untuk mengucapkan dua kalimah syahadah kerana pernah belajar daripada rakan sebelum ini.

Katanya, kedua ibu bapa merestuinya memeluk agama Islam walaupun mereka berlainan agama.

“Kami mahu kehidupan mendapat kesejahteraan dan melahirkan zuriat yang dirahmati Allah SWT selepas mendirikan rumah tangga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 9:50 PM