HUSAM tiba di pejabat SPRM Kelantan. FOTO Ihsan Pembaca
Muhamaad Razis Ismail dan Siti Nor Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my


PENGERUSI Pakatan Harapan Kelantan Datuk Husam Musa tiba di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan kira-kira 9.25 malam ini.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu dilihat tiba dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova berwarna putih dilihat terus memasuki pekarangan SPRM.

Beliau yang memakai jaket hitam dilihat duduk di tempat duduk penumpang hadapan ditemani dua pembantu.

Difahamkan, Husam akan memberi keterangan berhubung dakwaan pemimpin PAS menerima RM90 juta daripada UMNO menerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini disiasat SPRM.

Sumber parti itu berkata, perkara itu baru diketahui dan memaklumkan Husam akan datang ke pejabat SPRM.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz hadir di pejabat SPRM Kelantan, pada pada 8 Februari bagi memberi kenyataan berhubung siasatan PAS yang didakwa menerima wang RM90 juta menerusi 1MDB.

Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Bachok antara empat individu dianggap saksi penting dalam siasatan kes beberapa pemimpin PAS yang didakwa menerima RM90 juta dikatakan dari 1MDB.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 10:02 PM