HANAFIAH (dua dari kanan) bertemu sebahagian pengayuh beca di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


NASIB 40 pengayuh beca di bandar raya Kuala Terengganu akan terus dibela bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan tradisional itu kekal beroperasi di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Sosial negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan khas bersama Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam masa terdekat.

“Ketika ini, golongan pengayuh beca terdiri daripada warga emas itu menerima insentif RM200 sebulan daripada kerajaan negeri.

“Bantuan itu disalurkan menerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, jadi kami bersedia mempertimbangkan untuk memberikan bantuan tambahan di bawah portfolio kami.

“Malah, saya difahamkan sambutan terhadap perkhidmatan beca ini semakin merosot sehingga mereka tidak mampu mendapat pelanggan,” katanya selepas melawat pengayuh beca di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu, hari ini.

Hanafiah berkata, pihaknya akan berusaha agar semua penarik beca berdaftar mendapat sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata, ketika ini, seramai 40 pengayuh beca aktif adalah generasi terakhir menawarkan perkhidmatan itu dan tidak mustahil kegiatan itu akan berkubur sekiranya nasib mereka tidak diperjuangkan.

“Kebanyakan mereka sudah berusia lebih 60 tahun dan tidak mampu melakukan pekerjaan lain menyebabkan mereka kekal mencari rezeki melalui perkhidmatan ini.

“Justeru, kaedah terbaik untuk membantu mereka adalah dengan mempertimbangkan bantuan tetap,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri wajar memberi bantuan tetap kepada penarik beca kerana ia bukan hanya dapat membantu meringankan beban mereka, malah mengekalkan perkhidmatan tradisional itu di bandar raya ini.

“Perkhidmatan ini mungkin biasa pada penduduk setempat, namun ia dianggap unik dan mempunyai tarikan sendiri bagi pengunjung luar terutama pelancong asing yang mampu merancakkan industri pelancongan di negeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 10:06 PM