Parang dan cota yang digunakan seorang anak untuk mengugut ibunya. FOTO Ihsan PDRM
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


HANYA kerana tidak diberikan wang seperti diminta, anak lelaki sanggup mengugut ibunya dengan menggunakan cota (t-baton) dan parang di Kampung Kuala Sedim, Sungai Karangan, Kulim hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, dalam kejadian 10.30 pagi itu, lelaki berusia 23 tahun terbabit dikatakan meminta wang RM200 daripada ibunya namun mangsa hanya ada RM60.

Disebabkan itu suspek mengamuk dan mengugut memukul menggunakan cota dan menetak mangsa yang berusia 59 tahun itu menggunakan parang.

“Suspek turut menendang kereta serta merosakkan motosikal mangsa selain merosakkan barangan di dalam rumah.

“Mangsa membuat laporan polis selepas merasakan keselamatannya terancam,” katanya hari ini.

Katanya, susulan itu, suspek ditahan di rumah 4.15 petang hari ini dan ketika ditangkap dia dalam keadaan agresif.

Nasir berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) Rawatan dan Pemulihan (R&P) 1983.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 10:22 PM