KAPAL ditahan APPM kerana gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh perairan Dungun, petang semalam. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah kapal yang didapati bersauh secara haram di perairan Dungun, semalam.

Pengarah Maritim Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, kapal berkenaan ditahan pada jarak 0.5 batu nautika dari Kuala Dungun, pada 12.45 tengah hari.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Jabatan Laut Wilayah Timur yang memaklumkan kehadiran kapal itu yang bersauh tanpa kebenaran di situ sejak Ahad lalu.

“Kami mengatur dan menggerakkan kapal ronda ke lokasi berkenaan dan mendapati kapal itu bersauh di bahagian selatan muara Kuala Dungun.

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal berkenaan gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kapal berdaftar di Tuvalu itu mempunyai sembilan kru warga Indonesia dan dua kru tempatan berusia 21 hingga 36 tahun.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 49 1B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Tiga kru kapal berkenaan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut.

“APMM akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim bagi memastikan keselamatan kapal yang melalui perairan negara ini terjamin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 11:03 PM