GAMBAR hiasan
BERNAMA

MAYAT dipercayai wanita dijumpai dalam keadaan lehernya terjerut di Sungai Parit Haji Hashim, Simpang Renggam, Kluang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai satu objek yang timbul di sungai itu, kira-kira 2.15 petang.

Menurutnya, sebaik pemeriksaan dilakukan di lokasi terbabit, satu mayat yang dipercayai wanita terapung dalam keadaan mengiring di tebing sungai itu.

“Selepas mayat dibawa keluar pasukan Bomba dan Penyelamat, Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor melakukan pemeriksaan dan menganggarkan mangsa meninggal dunia antara tiga hingga empat hari.

“Usia dan bangsa mangsa tidak dapat dipastikan kerana keadaan mayat yang hampir reput,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Abduh berkata, pemeriksaan lanjut mendapati ada dua lilitan kain digunakan untuk menjerut leher mangsa dan ada kesan plastik terbakar melekat pada seluar jeans biru serta baju berwarna coklat yang dipakai mangsa.

Katanya, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa dan mayat dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Semakan rekod orang hilang sedang dijalankan.

“Usaha untuk mengesan serta menangkap suspek sedang giat dilaksanakan bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, sesiapa yang kehilangan anggota keluarga diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes itu Asisten Superintendan K Karthiggaibalan di talian 019-577 7221 untuk proses pengecaman mayat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 12:06 AM