SEMENYIH 19 FEBRUARI 2019. Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyampaikan ceramah sempena Pilihan Raya Kecil N24 DUN. Semenyih di Taman Kantan Permai. NSTP/ MOHD YUSNI ARIFFIN
Rizanizam Abdul Hamid


KERAJAAN memberi amaran kepada pembangkang supaya tidak melakukan fitnah dalam kempen pilihan raya kononnya pengurusan Tabung Haj ikini berasa di bawah kawalan DAP.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, beliau kesal kerana pembohongan itu berlaku secara bebas untuk mengelirukan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

“Hari ini, mereka secara berleluasa khususnya ketika berkempen ini (PRK Semenyih) membawa satu pembohongan kononnya Tabung Haji sekarang di bawah telunjuk DAP.

“(Kononnya) Menteri Agama tunduk pada kehendak DAP. Ini bahaya dan, jangan (pula) sampai kita saman perbuatan seperti ini yang tidak membantu pendeposit 9.7 juta (jumlah pendeposit Tabung Haji),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas ceramah kempen Pakatan Harapan (PH) di Pusat Daerah Mengundi Taman Kantai Permai, Kajang di Hulu Langat, malam tadi.

Turut hadir Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk lr Amiruddin Hamzdan calon Pakatan Harapan (PH) bagi PRK Semenyih, Muhammad Aiman Zainali.

Mengulas lanjut, Mujahid yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) turut mengingatkan pihak yang melakukan fitnah itu bahawa beliau pernah memenangi satu kes saman membabitkan seorang profesor yang menulis satu artikel berhubung perkara sama.

Akhirnya jelas beliau, individu itu membuat permohonan maaf dengan menarik semula artikel yang ditulis.

“Dalam tulisan-tulisan mereka, menuduh (kerajaan) tunduk kepada DAP,” katanya.

Sebelum ini, dalam writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 13 Julai 2017, bekas Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff menerusi Facebooknya pada 25 Mei menuduh Mujahid menjadi kuda tunggangan DAP.

Bagaimanapun pada 21 November tahun lalu, saman fitnah itu diselesaikan secara baik susulan Kamarul Zaman memohon maaf dan menyatakan kekesalan terhadap artikel bertajuk ‘Dr Mujahid antara kuda tunggangan terbaik DAP’ itu yang dimuat naik dalam akaun Facebook peribadi beliau pada 25 Mei 2017.

Kamarul Zaman yang membacakan pernyataan maaf di Mahkamah Tinggi yang turut dihadiri Mujahid berkata, beliau kesal dengan penerbitan artikel itu oleh sebuah portal berita.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 10:08 AM