Anggota bomba mengeluarkan tangan kanan wanita yang tersepit dalam mesin penghancur di Ijok, semalam. FOTO Ihsan Bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


WANITA berusia 27 tahun terpaksa menahan kesakitan lebih sejam apabila tangan kanannya tersepit dalam mesin penghancur bahan herba di sebuah kilang di Jalan Harmoni Empat, Ijok, Bestari Jaya semalam.

Kejadian jam 4 petang itu mengakibatkan mangsa yang juga operator mesin putus jari tengah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya, Penguasa Bomba Azrel Izaidy Ahamad berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan 4.08 petang.

“Setibanya di tempat kejadian, kita dapati tangan kanan mangsa masih tersepit dalam mesin penghancur bahan herba di kilang berkenaan.

“Bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan tangan mangsa dan mendapati jari tengahnya putus,” katanya hari ini.

Menurutnya, operasi menyelamat mangsa yang mengambil masa lebih sejam berjalan lancar.

Azrel Izaidy berkata, wanita itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk menerima rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 3:51 PM