Muhamaad Razis Ismail


PENAGIH dadah di Kelantan kini beralih mengambil daun ketum sebagai alternatif untuk melepaskan ketagihan berikutan harganya yang lebih murah, mudah diperoleh dan kekurangan bekalan dadah.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, berdasarkan statistik, pihaknya mendapati peningkatan hampir 100 peratus membabitkan rampasan ketum tahun lalu.

“Pada 2017 kita merampas 9,904 kilogram daun ketum dan 2018 ia meningkat kepada 18,328 kilogram.

“Polis percaya penagih dadah menjadikan daun ketum sebagai alternatif untuk melepaskan ketagihan berbanding pil kuda,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tahun lalu polis Kelantan merekodkan 14,566 kes dadah membabitkan tangkapan 17,741 orang dengan nilai rampasan dadah RM33.6 juta.

“Mengikut kategori pekerjaan yang dikesan terbabit dadah adalah 95 kakitangan kerajaan, peniaga (155 orang), nelayan (13), penganggur (7,801) manakala 9,316 lagi lain-lain pekerjaan,” katanya.


Hasanuddin (tengah) menunjukkan daun ketum yang dirampas polis. FOTO Syamsi Suhaimi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 5:23 PM