FOTO Hiasan.
Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan kerajaan dan empat yang lain untuk mengetepikan saman seorang remaja 18 tahun yang terputus kepala zakarnya ketika berkhatan, lapan tahun lalu.

Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad membuat keputusan itu di dalam kamarnya selepas bertemu peguam remaja terbabit, Mohamad Zainuddin Abu Bakar.

Mahkamah dalam keputusannya membenarkan permohonan pegawai perubatan Hospital Kuala Lipis, Pahang; pengarah hospital itu, doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang, Selangor serta kerajaan Malaysia untuk mengetepikan saman itu.

Bagaimanapun, saman terhadap defendan pertama iaitu seorang pembantu perubatan diteruskan dan ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 Mac depan.

Mohamad Zainuddin yang mewakili remaja itu ketika ditemui berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah bagi lima defendan itu.

Menurutnya, mahkamah dalam keputusan membenarkan permohonan lima defendan itu atas alasan proses berkhatan itu dilakukan di rumah pembantu perubatan itu dan bukan di hospital.

Remaja itu melalui ibunya memfailkan saman itu pada Julai lalu melalui Tetuan Mohamad Zainuddin & Co terhadap seorang pembantu perubatan dan lima lagi kerana cuai sehingga menyebabkannya cacat.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa pada 13 Disember 2010, pada 10 pagi, pembantu perubatan (defendan pertama) bersama dengan seorang pembantu menjalankan prosedur berkhatan dengan kebenaran dan pengetahuan defendan kedua (doktor perubatan) terhadap dua kanak-kanak termasuk plaintif.

Ketika kejadian, plaintif berusia 10 tahun dan ia dilakukan di sebuah premis kediaman di Kuala Lipis, Pahang.

Plaintif mendakwa, defendan pertama tidak mengikut prosedur standard dan tanpa kewajipan berhati-hati apabila memotong keseluruhan kepala kemaluan zakarnya.

Akibat perbuatan cuai defendan pertama kepala zakar plaintif terputus dan darah keluar dengan banyak.

Defendan pertama didakwa mendapatkan semula bahagian kemaluan terputus dan membuat penyambungan semula kepala zakar kepada batang zakar dengan menjahitnya tanpa mengikut prosedur betul.

Akibat daripada kecacatan kekal itu, plaintif berubah sikap menjadi pendiam dan tidak suka berkawan dengan rakan sebaya dan hanya berkawan dengan kanak-kanak lebih kecil serta tidak faham langsung dunia seksualiti.

Sepanjang masa material, plaintif mendakwa terpaksa menanggung perbelanjaan dan kos yang tinggi iaitu RM108,356 termasuk kos berulang-alik rawatan hospital.

Sementara itu, berdasarkan pernyataan pembelaan, lima defendan itu mendakwa mereka tidak mempunyai pengetahuan dan tidak terbabit dalam proses berkhatan yang dilakukan defendan pertama dan tidak pernah menyebabkan sebarang kecederaan atau kecacatan terhadap remaja itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 6:18 PM