LOKASI kejadian wanita dipukul dan disamun 14 Februari lalu.
Mohd Husni Mohd Noor


KEMENTERIAN Pengangkutan menubuhkan pasukan petugas khas bagi ditempatkan untuk mengawal keselamatan di Stesen MRT yang berisiko tinggi susulan kejadian pukul dan samun seorang wanita di Stesen MRT Taman Mutiara, Cheras, 14 Februari lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pasukan itu akan ditempatkan di lokasi berisiko tinggi terutama di Stesen MRT Taman Mutiara Cheras; Stesen Batu 11; Stesen Bukit Bintang; Stesen Maluri, Stesen Kajang, Stesen Pertama Cheras yang dikategorikan sebagai lokasi panas jenayah.

“Anggota pasukan ini berpakaian awam yang akan memastikan keselamatan yang lebih baik di stesen MRT terbabit.

“Pasukan petugas khas ini juga adalah sebahagian daripada 1,300 polis bantuan sedia ada yang sudah ditempatkan di 115 lokasi stesen pengangkutan awam di Lembah Klang,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.


ANTHONY Loke Siew Fook. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Loke berkata, susulan kejadian minggu lalu itu juga, pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sudah mengambil langkah berjaga-jaga, mengenalpasti dan menambah anggota polis bantuan, bagi menjalankan rondaan lebih kerap di sekeliling stesen sepanjang hari.

“Kita juga memastikan mana-mana pengguna MRT yang memerlukan khidmat pengiring untuk ke parkir stesen, boleh meminta bantuan polis bantuan yang ditempatkan di setiap lokasi,” katanya.

Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga membangkitkan insiden yang berlaku dalam mesyuarat Kabinet dan meminta Kementerian Pengangkutan memberi tumpuan kepada soal keselamatan pengguna.

“Beliau mahu lebih tumpuan diberikan bagi memastikan ciri keselamatan di semua stesen pengangkutan awam bertambah baik, khususnya mengembalikan keyakinan penumpang wanita terhadap tahap keselamatan di stesen.

“Justeru, saya meminta semua pengendali termasuk Prasarana dan KTM untuk memastikan semua parkir di stesen mempunyai sistem lampu yang baik, tidak gelap yang sekali gus memberi rasa keselamatan yang lebih baik kepada pengguna,” katanya.

Pada 14 Februari lalu, seorang wanita diserang seorang lelaki ketika menaiki lif di Stesen MRT Taman Mutiara, kira-kira jam 6.45 pagi.

Kejadian dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) dalam lif berkenaan dan menjadi viral di media sosial.

Berdasarkan rakaman selama 55 saat itu, mangsa berusia 48 tahun yang menaiki lif seorang diri dipukul dan ditendang suspek sebelum melarikan kad pengenalan, kad bank dan wang tunai RM400.

Suspek berusia 26 tahun itu bagaimanapun ditahan polis kelmarin dalam serbuan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sebuah rumah di Taman Cheras, pada jam 8.10 malam sebelum direman tujuh hari bermula semalam.

Berita berkaitan

Botak pun dapat cam jugak...[METROTV]

Direman seminggu

[UPDATE] Suspek belasah dalam lif ditahan

Suspek samun dalam lif MRT dikenal pasti

Ganjaran RM10,000 buru penyamun MRT

Belasah, samun dalam lif [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 6:41 PM