Mohd Azis Jamman akan membuat laporan polis terhadap pemilik Facebook ‘Negara Borneo Utara’ berhubung kenyataan fitnah di laman sosial itu. FOTO Ihsan Pejabat Ahli Parlimen Sepanggar
Wan Faizal Ismayatim

TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman akan membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook ‘Negara Borneo Utara’ berhubung kenyataan fitnah di laman sosial terbabit.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, ia susulan tuduhan tidak berasas menyatakan beliau akan membantu untuk memberikan kad pengenalan kepada warga Filipina khususnya daripada bangsa Bajau di Johor.

“Tuduhan itu tidak benar dan menyeleweng dengan berniat jahat mahu memburukkan imej saya sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Ahli Parlimen Sepanggar.

“Walhal tidak ada satu pun kenyataan saya mengatakan saya akan membantu untuk memberikan kad pengenalan seperti didakwa pemilik akaun Facebook itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Azis berkata, beliau juga tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang dengan mengemukakan saman terhadap individu di belakang akaun Facebook terbabit kerana memfitnah.

“Jika pemilik akaun itu seorang yang berani dengan tuduhannya, saya menggesanya tampil ke depan dan tidak menggunakan akaun Facebook berkenaan semata-mata untuk membuat fitnah demi kepentingan peribadi dan politik pihak yang menajanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 7:07 PM