MURID Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Datu Hashim, Muhammad Irfan Abdullah, 12 (kiri) bersama neneknya, Fatimah Said, 67 gembira melihat baju baru pada Program Ziarah Cakna 2019 ketika ditemui di rumahnya di Kampung Landak, Pengkalan Chepa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi
cnews@nstp.com.my


MURID Tahun eEnam Sekolah Kebangsaan (SK) Datu' Hashim di Kota Bharu, sanggup ponteng sekolah kerana malu memakai baju lusuh.

Muhammad Irfan Abdullah, 12, berkata, dia berbuat demikian bukan kerana malas, sebaliknya berasa malu apabila setiap hari melihat rakannya berbaju baru dan kemas di sekolah.

Katanya, disebabkan tidak mempunyai wang untuk membeli pakaian baru, dia terpaksa memakai baju sekolah lama yang sudah lusuh.

"Saya malu hendak beritahu kepada ayah atau nenek kerana tidak mahu membebankan mereka dan dalam masa sama, kami juga bukan dalam kalangan orang senang," katanya ketika ditemui di rumahnya dalam Program Ziarah Cakna 2019 di Kampung Landak, Pengkalan Chepa, hari ini.

Hadir sama, Guru Besar SK Datu' Hashim, Hamidah Che Abdul Hamid, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Timbalan Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi.

Dalam program itu, Hamidah menyerahkan pakaian sukan kepada Muhammad Irfan serta barang keperluan asas untuk meringankan beban keluarga ini.

KEMUDI turut menyampaikan sumbangan wang tunai.

Nenek Muhammad Irfan, Fatimah Said, 67, berkata, cucunya itu tinggal bersamanya sejak kecil.

“Segala keperluan keluarga disediakan sendiri menggunakan wang pencen arwah suami sebanyak RM200 sebulan selain perlu menyara dua lagi cucu.

"Bagi meringankan beban ini, mak cik hanya mengharapkan bantuan anak sulung yang bekerja sebagai tukang kebun di sekolah serta anak bongsu yang masih belum berkahwin yang kini bekerja di kedai makan dengan upah RM30 sehari," katanya.

Sementara itu, Hamidah berkata, dia mengetahui kesusahan keluarga ini selepas dimaklumkan guru, murid terbabit tidak hadir ke sekolah lebih seminggu.

"Sebagai guru yang cakna dan tidak mahu murid tercicir dalam pendidikan, saya bersama beberapa guru dan wakil PIBG datang menziarah keluarga ini untuk menyelami sendiri kesusahan mereka.

"Program ziarah dapat mengeratkan hubungan antara guru dan ibu bapa bagi bersama-sama menyelesaikan masalah keciciran murid,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 12:49 PM