ANGGOTA polis mengiringi Harun Dahman,74, di Mahkamah Sesyen, yang dituduh mencabul kanak-kanak berusia lima tahun di Felda Chuping pada 16 Februari lalu. FOTO Amran Hamid
Aizat Sharif


PENOREH getah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini atas tuduhan mencabul kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Chuping, Padang Besar, minggu lalu.

Pengakuan berkenaan dibuat tertuduh, Harun Bin Dahman, 74, di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menyentuh kemaluan kanak-kanak berusia 5 tahun di rumah tertuduh di Felda Chuping, Arau pada 16 Februari lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Terhadap Kanak-kanak 2017, yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan juga boleh disebat.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abdul Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding itu, Mohd Fuad meminta mahkamah supaya menawarkan jaminan RM3,000 kerana kesalahan yang dilakukan dianggap serius dan tertuduh kemudian mengemukakan rayuan mempunyai tanggungan 3 orang anak.

Hakim Ainul Shahrin membenarkan permohonan pihak pendakwaan itu dengan memberi jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat kepada tertuduh untuk tidak mengganggu mangsa dan keluarganya yang juga kenalan tertuduh.

Kes disebut semula pada 20 Mac depan.

Terdahulu, tertuduh yang berkopiah hadir di perkarangan mahkamah sekitar jam 9 pagi dengan diiringi oleh anggota polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 1:51 PM