Noor Atiqah Sulaiman
am@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 11,883 pasang kasut dan selipar tiruan daripada pelbagai jenama terkenal bernilai hampir RM324,110.

Pengarah Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, semua barangan dirampas dalam satu operasi khas di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur, jam 11.30 pagi semalam.

Beliau berkata, dalam operasi itu, pihaknya menyerbu lapan premis menjual pelbagai jenis kasut dan selipar dari jenama terkenal termasuklah Gucci, Nike, Adidas, Puma, Converse dan Tommy Hilfiger.

“Dalam operasi ini, kita mengesan sebuah stor menyimpan kasut tiruan. Berdasarkan siasatan, kasut dan selipar dijual secara atas talian ke seluruh negara dan stor di premis itu menjadi lokasi simpanan barangan berkenaan.


FOTO HIASAN

“Buat masa ini tiada sebarang tangkapan dilakukan, pihak kami sedang giat mengesan pemilik stor berkenaan,” katanya pada sidang media Operasi Barang Tiruan KPDNHEP di Putrajaya, hari ini.

Tambah Iskandar, semua barangan dirampas dijual pada harga jauh lebih murah berbanding harga asal.

“Alasan jual murah kerana mereka tidak memerlukan modal besar kerana hanya perlu menyewa stor untuk menyimpan barangan sebelum dijual secara dalam talian.

“Bagi kasut dibeli secara borong, kos sepasang kasut hanya antara RM25 hingga RM30. Tetapi bila dijual atas talian, kasut ini dijual sehingga RM100.

“Jika dilihat, kualiti kasut dirampas dilihat sama dengan kasut asli. Sekali imbas jika dilihat, kita tidak dapat mengecamnya,” katanya.

Iskandar berkata pihaknya sudah mengesan beberapa stor yang menyimpan barangan tiruan di sekitar Lembah Klang dan akan mengadakan serbuan dalam masa terdekat.

Semua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8(2)(c), Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu mempunyai milikan, jagaan atau kawalannya untuk pembekalan apa-apa barangan yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 6:13 PM