RAFEAH (kiri) sedih apabila Azmirul Hakim koma selepas terbabit kemalangan jalan raya tiga tahun lalu ketika ditemui di rumahnya di FELDA Aring 1, Gua Musang. FOTO Ramli Ibrahim.
Ramli Ibrahim


“BUNTU memikirkan nasib anak mak cik yang sehingga kini belum sedarkan diri selepas terbabit kemalangan jalan raya tiga tahun lalu.

“Dia sepatutnya berkahwin dengan wanita pilihannya pada Jun 2017, namun hasrat itu terpaksa dilupakan,” kata Rafeah Abdullah, 62, ibu kepada Azmirul Hakim Abd Aziz, 27, yang masih koma di rumahnya di Rancangan Tanah Felda Aring 1, Gua Musang.

Rafeah berkata, dia terpaksa menjaga anak kelima daripada tujuh beradik itu sepanjang masa selagi dia tidak sedar diri termasuk memberi susu melalui tiub dan mengelap badannya dengan kain basah.

Katanya, sebagai ibu kandung, dia sentiasa berdoa bagi memohon kepada Allah SWT supaya anaknya itu dapat sedar semula selepas sekian lama terlantar.

“Mak cik kerap menitis air mata ketika berdoa sambil mengenangkan nasib anak mak cik ini yang belum pulih,” katanya.

Mengimbas kembali kemalangan menimpa anaknya, Rafeah berkata, ketika itu Azmirul Hakim yang bekerja sebagai pemandu lori, menunggang motosikal dalam perjalanan ke bank di Johor Bahru sebelum terbabas dan terbalik, lalu dilanggar sebuah kereta yang melalui kawasan itu.

“Kepalanya terhantuk pada kereta itu dan dia dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru selama sebulan sebelum dibawa pulang ke rumah dalam keadaan koma.

“Doktor membenarkan dia dibawa pulang ke rumah dan dijaga sepenuhnya keluarga kerana meramalkan dia mengambil masa lama untuk sedar semula,” katanya.

Rafeah berkata, suaminya yang hanya memperoleh pendapatan RM500 sebulan sebagai peneroka FELDA, terpaksa berbelanja kira-kira RM300 sebulan bagi membeli susu dan lampin pakai buang anaknya itu.

Katanya, tekanan hidup semakin meningkat berikutan harga sawit jatuh teruk sedangkan perbelanjaan meningkat.

“Mak cik tidak boleh mengharapkan anak yang lain kerana masing-masing sudah mempunyai keluatga.

“Tak tahulah apa yang patut mak cik fikirkan lagi untuk mendapatkan pendapatan lain, tetapi mak cik tidak sanggup untuk meninggalkan dia keseorangan untuk mencari pendapatan tambahan lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 6:41 PM