Nadin Juniati berharap kerajaan dapat membantu menyelamatkan suaminya Jari (gambar kecil) dan dua nelayan yang diculik militan Abu Sayyaf. FOTO NSTP
Poliana Ronnie Sidom


“TOLONGLAH selamatkan suami saya.” Hanya itu mampu diluahkan Nadin Junianti Najiri, 25, isteri kepada Jari Abdullah, 34, susulan video terbaru menunjukkan sekumpulan militan Abu Sayyaf mengugut untuk memenggal kepala dua daripada mangsa culik iaitu Hariadin, 45, dan Heri Ardiansyah, 19.

Nadin Junianti berkata, dia dihubungi penculik dua hari lalu yang memintanya terus berusaha mendapatkan bantuan kerajaan Malaysia untuk mengadakan rundingan dengan penculik sebelum menghantar video berkenaan menerusi aplikasi Messenger.

“Siapa yang tidak panik apabila melihat video itu, saya hampir pengsan biarpun suami saya tiada dalam video. Bantulah kami kerajaan Malaysia.

“Hingga sekarang tiada pihak (daripada kerajaan) yang hubungi saya. Kami tidak tahu lagi mahu ke mana (untuk minta bantuan),” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Nadin Junianti melihat gambar suaminya bersama tiga anak dan ibu mentuanya, Zuana Laudiato, 54. FOTO NSTP

Pada 6 Disember lalu, ketiga-tiga nelayan dilaporkan hilang daripada bot mereka ketika menangkap ikan di perairan Pegasus Reef Kinabatangan.

Tiga nelayan terbabit kemudian disahkan diculik selepas seorang daripada isteri mangsa menerima panggilan daripada mangsa mendakwa dibawa ke sebuah tempat tidak diketahui di Filipina.

Baru-baru ini, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata berdasarkan maklumat, ketiga-tiga mangsa berada dalam keadaan baik dan usaha sedang dilaksanakan pasukan keselamatan Filipina untuk mengesan dan menyelamatkan mereka.

Nadin Junianti berkata, ini kali ketiga penculik yang dipercayai menggunakan ‘orang tengah’ untuk berkomunikasi dengan mereka menggunakan bahasa Melayu.

Katanya, selain mengugut untuk mengancam keselamatan semua mangsa, penculik juga meminta mereka mencari inisiatif, termasuk meminta bantuan wakil rakyat kerana sehingga kini tiada rundingan dilakukan dengan pihak penculik.

“Sudah lebih dua bulan sejak mereka diculik, kami cuma dapat tahu khabar mereka (semua mangsa) apabila dihubungi pihak penculik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 11:07 PM