GAMBAR hiasan
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


SELEPAS lebih dua bulan diburu, suspek utama kes bunuh seorang pengurus pusat hiburan dalam kejadian di luar sebuah kelab malam di 8th Avenue, Seksyen 8, Petaling Jaya, 16 Disember lalu, akhirnya berjaya ditahan polis.

Suspek bersama dua lagi lelaki ditahan 5.30 petang tadi selepas kenderaan dinaiki berjaya dipintas anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor di Lebuhraya Utara-Selatan di kawasan Pedas, Negeri Sembilan menghala ke Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, sebelum itu, pada 3 petang, sepasukan anggota JSJ Selangor berjaya mengesan kereta Perodua Myvi dinaiki tiga suspek di Taman Bukit Indah, Johor Bahru sebelum mengekori kenderaan itu.

Bagaimanapun, katanya, suspek menyedari mereka diekori lalu memecut kenderaan untuk cuba melarikan diri.

“Namun, ketika di Lebuhraya Utara-Selatan di kawasan Pedas, sebaik cuba ditahan pasukan yang mengekori kenderaan mereka, suspek bertindak merempuh kenderaan polis.

“Bagaimanapun, anggota JSJ Selangor yang mengejar mereka berjaya memberkas ketiga-tiga lelaki berkenaan selepas bergelut dengan mereka selama beberapa minit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fadzil berkata, hasil pemeriksaan mendapati seorang daripada tiga lelaki berkenaan adalah suspek utama kes pembunuhan pengurus sebuah kelab malam dan dikenali sebagai A Ragu dan diburu sejak 16 Disember lalu.

Katanya, suspek yang berusia 28 tahun turut mempunyai 10 rekod jenayah lampau membabitkan jenayah kekerasan, dadah dan kesalahan mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, selain jenayah terancang mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Suspek yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh bersama dua lagi lelaki yang bersamanya ketika ditahan akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya esok bagi proses permohonan reman,” katanya.

Pada 16 Disember lalu, kira-kira 6.45 pagi, pengurus pusat hiburan berusia 28 tahun maut diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di luar sebuah kelab malam di Petaling Jaya.

Mangsa yang menetap di Maxwel Towers, Jalan Gasing Indah, Petaling Jaya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan pada 7.40 pagi.

Susulan kejadian itu, lima individu berusia antara 20 hingga 31 tahun ditahan polis pada hari sama kejadian berlaku bagi membantu siasatan, namun dibebaskan selepas itu dengan jaminan bon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 11:46 PM